Site icon TechNave BM

100 juta iPhone 12 dijual dalam masa 7 bulan, lebih pantas berbanding iPhone 11

Firma analisis industri teknologi Counterpoint Research telah melaporkan bahawa siri telefon pintar iPhone 12 telah dijual sebanyak 100 juta unit di seluruh dunia sejak pelancarannya pada Oktober 2020. Apple berjaya mendapat jualan tersebut pada bulan April 2021, iaitu tujuh bulan sejak pelancarannya.

Jualan ini adalah lebih pantas berbanding iPhone 11 yang mengambil masa sembilan bulan untuk mencapai jualan 100 juta unit. Kali terakhir Apple berjaya mencapai jualan pada kadar ini adalah untuk iPhone 6 yang dilancar pada September 2015.

Counterpoint mengatakan kadar pembelian tinggi iPhone 12 ini mungkin telah disumbangkan oleh sokongan rangkain 5G yang diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah iPhone. Selain sokongan 5G, skrin OLED juga telah menarik pengguna untuk membeli iPhone 12. Perkara serupa juga telah berlaku untuk iPhone 6, di mana Apple sedang bertukar daripada 3G ke 4G pada waktu itu.

Daripada segi varian, iPhone 12 Pro Max mencatatkan jualan tertinggi sebanyak 29% daripada seluruh jumlah iPhone 12. Di samping itu, jualan siri iPhone 12 juga mencatatkan pendapatan sebanyak 22% lebih tinggi berbanding iPhone 11 dalam masa tujuh bulan pertama.

Counterpoint juga mengatakan lebih ramai pelanggan telah membeli iPhone 12 berbanding iPhone 11 walaupun dalam waktu pandemik COVID-19. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Counterpoint

Exit mobile version