Site icon TechNave BM

3 cara untuk muat turun aplikasi pada TV pintar Android anda

Jika anda memiliki TV pintar Android, anda mempunyai pilihan untuk memuat turun sejumlah besar aplikasi daripada Google Play dan anda boleh melakukannya dalam pelbagai cara. Kali ini, kami akan menunjukkan cara memasang aplikasi secara manual untuk menguji aplikasi yang tidak serasi secara automatik.

Selain itu, terdapat juga cara memasang aplikasi dari jauh melalui telefon pintar pada Android TV anda. Ia adalah satu proses mudah yang tidak akan mengambil masa yang lama. Anda mungkin memerlukan batang USB jika anda ingin memasang fail APK secara manual. Tetapi kami akan menunjukkan kepada anda kaedah alternatif juga.

Muat turun aplikasi melalui telefon pintar

Memasang aplikasi pada TV melalui telefon pintar anda dengan mengarahkan Google Play untuk mula memuat turun aplikasi ke Android TV anda. Boleh dikatakan kaedah ini yang paling mudah. Untuk menjayakannya, buka Google Play pada telefon pintar anda dan cari aplikasi. Anda boleh pilih apa sahaja daripada game hingga aplikasi penstriman yang serasi dengan Android TV.

Anda akan melihat anak panah pada butang pasang apabila anda membuka tab. Anda boleh memilih sama ada anda mahu memasang aplikasi pada telefon atau televisyen anda dengan mengklik anak panah tersebut. Selanjutnya, klik Pasang dan Android TV anda akan mula memuat turun daripada Google Play sebaik sahaja dihidupkan dan disambungkan ke Internet.

Pemasangan manual

Muat turun menggunakan fail APK menawarkan pilihan untuk memasang aplikasi secara manual pada TV pintar anda. Sama seperti yang anda lakukan pada telefon pintar anda, kaedah ini boleh menjadi sangat menarik untuk menguji aplikasi yang serasi atau tidak serasi dengan TV anda. Fail APK untuk TV mesti dimuat turun daripada tapak web seperti APK Mirror.

Kemudian, pindahkan fail tersebut pada storan USB dan sambungkan ke port USB pada TV anda. Langkah seterusnya ialah membuka fail APK, pilih USB dan kemudian klik fail yang diperlukan. Jika ia serasi, pemasangannya akan bermula selepas itu. Anda hanya perlu menunggu sehingga ia selesai.

Untuk pengetahuan, banyak aplikasi tidak akan berfungsi dengan TV pintar kerana format dan antara muka. Walau bagaimanapun, jika anda tidak mempunyai USB atau anda mahukan penyelesaian alternatif untuk memasang fail APK secara manual pada TV pintar Android anda, terdapat aplikasi yang dipanggil Send files to TV.

Ia boleh dimuat turun pada TV anda menggunakan kaedah di atas dan tersedia secara percuma serta serasi dengan semua Android TV. Anda boleh memuat turun fail APK ke telefon pintar dan kemudian menggunakan aplikasi ini untuk memindahkan fail ke TV pintar anda. Aplikasi ini boleh memindahkan fail atau kandungan dengan mudah dan pantas.

Muat turun menggunakan komputer

Selain itu, Google menyediakan pilihan untuk anda memuat turun game dan aplikasi daripada gedung aplikasi berasaskan web dan pasangkannya pada TV pintar anda. Langkah pertama, anda perlu mencari aplikasi yang ingin anda dimuat turun pada tapak web Google Play.

Anda boleh memulakan pemasangan pada peranti serasi yang telah didaftarkan dalam akaun anda dengan mengklik butang pasang. Jika anda mengklik butang ini dan aplikasi yang ingin anda pasang disokong oleh TV pintar anda, ia akan dipaparkan bersama telefon pintar, tablet atau peranti lain anda.

Muat turun aplikasi akan bermula sebaik sahaja anda menghidupkan TV pintar dan menyambungkannya ke Internet. Sama seperti kaedah sebelumnya, cara ini juga boleh digunakan untuk memuat turun aplikasi bagi tablet atau telefon pintar anda.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizchina

Exit mobile version