Site icon TechNave BM

3 rover baharu akan dihantar ke Marikh pada 2020

Siapa masih ingat akan kejayaan NASA mendaratkan rover Curiosity di planet Marikh pada 2012? Mungkin ada juga yang sedih apabila rover Opportunity tidak lagi berfungsi di planet itu pada Februari 2019 selepas 14 tahun melaksanakan tugasannya? Jika anda seorang peminat pada penerokaan planet ke-4 dari matahari itu, tentunya 2020 akan menggembirakan anda.

Setakat ini, tiga agensi angkasa lepas dari pelbagai negara sudah pun menetapkan tarikh untuk melancarkan roket yang akan membawa rover-rover mereka ke planet Marikh. Tiga agensi tersebut ialah NASA dengan rover Mars 2020, China Aerospace Science and Technology dengan Huoxing-1 dan gabungan European Space Agency-Rosmocosmos (Rusia) dengan rover Rosalind Franklin.

Jika perancangan ini kekal dan ketiga-tiga rover berjaya mendarat di Marikh, ini akan menandakan kali pertama planet itu diterokai oleh agensi pelbagai negara dengan empat rover bekerja secara serentak, termasuk Curiosity. Tiga rover ini dijadual untuk dilancarkan pada bulan Julai dan Ogos tahun ini.

Apa pendapat anda tentang perkembangan penerokaan Marikh ini? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi merangkumi sektor angkasa lepas dan lain-lain industri.

Sumber: Vice

Exit mobile version