Site icon TechNave BM

6 syarikat telekomunikasi tempatan meterai perjanjian langganan saham DNB untuk tawarkan 5G

Enam syarikat pengendali rangkaian mudah alih (mobile network operators, MNO) tempatan telah menandatangani perjanjian langganan saham (share subscription agreements, SSA) yang melibatkan 65 peratus jumlah pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB).

Enam syarikat ini adalah Celcom Axiata Bhd dengan pegangan 12.5 peratus, Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan 12.5 peratus, YTL Communications Sdn Bhd (YES) dengan 20 peratus dan Telekom Malaysia Bhd dengan 20 peratus. Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd pula tidak memegang sebarang saham.

Di bawah SSA, setiap MNO hanya boleh memegang saham DNB sehingga 20 peratus dan jika terdapat penggabungan di antara MNO tersebut, syarikat baharu daripada gabungan itu tidak boleh memiliki pegangan melebihi 25 peratus.

Baki pegangan saham 35 peratus akan dipegang oleh kerajaan, yang turut bertindak sebagai pemegang saham khas yang memberi pelbagai hak dan kepentingan seperti pemilikan, penjualan atau pemindahan saham.

MNO dijangka akan memulakan perkhidmatan 5G kepada para pelanggan bermula Oktober 2022. Setakat hari ini, rangkaian 5G telah capai liputan sebanyak 33 peratus di kawasan berpenduduk dan DNB menyasarkan liputan itu untuk diluaskan sehingga 40 peratus pada hujung tahun ini.

DNB juga berkata 12 jenama peranti elektronik yang menawarkan lebih 100 model kini boleh memanfaatkan rangkaian 5G di Malaysia.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version