Site icon TechNave BM

40 lokasi di Melaka dijangka terima liputan 5G September ini

Sebanyak 40 lokasi di Ayer Keroh dan Bandar Melaka dijangka mempunyai liputan 5G menjelang akhir September daripada 133 lokasi yang disasarkan untuk fasa pertama pelancaran rangkaian perkhidmatan 5G di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi Negeri, Datuk Rais Yasin berkata pelancaran rangkaian 5G oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) melalui Digital Nasional Berhad (DNB) juga akan diperluas melalui penggunaan sumber yang berada di sepanjang jalan seperti lampu jalan.

Melaka dikenal pasti antara negeri terawal memiliki rangkaian 5G ini dan lokasi yang dikenal pasti melibatkan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, kawasan tumpuan industri dan pelancongan serta institusi pengajian tinggi.

Justeru, pelbagai aplikasi pintar seperti AI Surveillance dan sensor IOT untuk meningkatkan keselamatan, pengangkutan dan sebagainya akan disepadukan melalui infrastruktur tiang lampu pintar untuk rangkaian 5G.

Rais berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan pasukan petugas yang diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi Melaka (UPEN) bagi mempercepatkan proses kelulusan pembinaan struktur telekomunikasi di negeri ini.

Beritahu kami di Facebook pendapat anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version