Site icon TechNave BM

5 sebab kenapa anda tidak perlu rakam video dengan resolusi 4K dalam telefon pintar

Pada waktu ini, kebolehan untuk merakam video dalam resolusi 4K atau 3840×2160 bukanlah sesuatu yang asing dalam telefon pintar. Fungsi ini sudah pun berada dalam beberapa telefon kelas pertengahan seperti Redmi Note 9S (RM799), realme 6 (RM999) dan Samsung Galaxy M31 (RM1,099). Malah, ada telefon flagship yang boleh merakam sehingga 8K seperti dalam Samsung Galaxy S20 (RM3,599).

Tetapi adakah ini bermakna anda perlu merakam video dengan resolusi 4K dalam telefon pintar anda untuk kegunaan harian? Rakaman 4K memang sangat berguna buat ahli videografi profesional dalam menyunting projek-projek mereka namun untuk pengguna biasa, rakaman 4K bukanlah sesuatu yang perlu digunakan. Malah, terdapat pelbagai kebaikan jika anda mengekalkan dalam resolusi 1080p (1920×1080) sahaja setakat ini. Berikut kami bentangkan kenapa kami cadangkan para pengguna telefon pintar untuk merakam dalam 1080p terutamanya buat pengguna telefon kelas pertengahan:

1 – Resolusi yang lebih tinggi tak semestinya lebih cantik

Mungkin anda fikir bahawa rakaman 4K adalah lebih cantik daripada 1080p. Ini tidak semestinya betul. Resolusi yang lebih tinggi hanyalah bermakna bilangan piksel yang terdapat dalam video tersebut adalah lebih tinggi. Mutu video yang diambil pula bergantung kepada sensor yang digunakan dalam telefon.

Jadi jika mutu video yang diambil pada 4K tidak begitu memuaskan anda, besar kemungkinan mutu yang diambil dalam 1080p juga akan mempunyai mutu yang lebih kurang sama. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai telefon kelas pertengahan. Malah, jika anda tetap ingin merakam video tersebut dalam 4K, anda akan mempunyai satu lagi masalah iaitu…

2 – Rakaman 4K mengambil ruang yang lebih banyak

Dengan bilangan piksel yang lebih tinggi berbanding video 1080p, rakaman 4K akan mengambil lebih banyak ruang dalam storan telefon pintar anda. Jika anda kekalkan tetapan 4K dalam kamera anda, storan anda boleh menjadi penuh dengan sangat cepat. Masalah ini boleh diselesaikan dengan storan luaran menggunakan kad microSD, tetapi anda masih boleh memenuhinya dengan cepat jika merakam dalam 4K. Itu pun kalau telefon anda menyokong memori luaran microSD.

Manakala rakaman 1080p pula boleh disimpan dalam kad memori dengan lebih banyak berbanding rakaman 4K. Jika penggunaan rakaman anda adalah lebih kepada aktiviti harian dan santai, bukankah lebih baik jika anda boleh merakam video dengan lebih banyak pada 1080p? Lebih banyak video, lebih banyak kenangan manis yang boleh disimpan.

Untuk demonstrasi, saya telah menggunakan kamera saya untuk merekod video yang sama dalam 4K dan 1080p selama 10 saat. Video 4K mengambil ruang 80MB manakala video 1080p sebanyak 68MB sahaja. Secara kasar, ini menunjukkan penggunaan memori hampir 20% lebih tinggi untuk video 4K.

3 – Tidak semua skrin boleh main video 4K

Jika telefon anda boleh rakam dalam 4K, mungkin telefon itu boleh memainkan video 4K juga. Tapi perlu diingat, tidak semua telefon pintar mempunyai skrin dalam resolusi tersebut. Apa yang berlaku jika anda memainkan video 4K dalam skrin yang tidak menyokong resolusi tersebut adalah ia akan diturunkan (downsampled) kepada resolusi skrin yang sedang digunakan. Sebagai contoh, jika anda memainkan video 4K dalam skrin 1080p, video anda akan nampak seperti… video 1080p. Jadi usaha anda merakam dalam 4K jadi sia-sia sahaja.

Kebanyakan skrin komputer riba masih mempunyai resolusi 1080p, begitu juga dengan telefon pintar kelas pertengahan. Televisyen 4K juga bukanlah sesuatu yang sudah berada dalam kebanyakan isi rumah dan ia masih belum menjadi kebiasaan. Jadi anda perlu fikir: Kalau anda rakam dalam resolusi 4K, skrin manakah yang anda ingin ia dimainkan?

4 – Suntingan video 4K memerlukan spesifikasi yang tinggi

Jika anda ingin menyunting video 4K, pastikan anda mempunyai telefon pintar atau komputer yang mampu menyaingi prestasi yang diperlukan. Ini adalah kerana suntingan video 4K menggunakan sumber yang tinggi (resource intensive) dalam cipset anda.

Jika spesifikasi komputer atau telefon anda tidak begitu tinggi, besar kemungkinan anda akan mengalami kekangan lag sewaktu menyunting atau pun perisian suntingan video anda mungkin boleh terus terpadam (crash). Malah jika anda berkongsi video 4K dalam WhatsApp atau media sosial sekali pun, telefon anda akan mengambil masa yang lebih lama untuk memampatkan (compress) video itu.

5 – Rakaman yang cantik bergantung pada yang orang yang merakam, bukan telefon

Rakaman 4K adalah sesuatu yang amat dihargai oleh ahli videografi profesional kerana mereka mempunyai lebih banyak fleksibiliti untuk menyunting video mereka. Video itu boleh distabilkan (stabilised) dalam komputer dengan baik, dipotong (cropped) tanpa hilang kualiti, diwarnakan (colour graded) dengan lebih banyak butiran dan banyak lagi.

Akan tetapi jika anda adalah pengguna biasa yang merakam menggunakan telefon, besar kemungkinan anda merakam video untuk tujuan suka-suka sahaja di mana video anda mungkin hanya akan disimpan dan dikongsi bersama orang tersayang. Kelebihan rakaman 4K tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anda. Jika anda termasuk dalam golongan ini, adalah lebih baik jika anda merakam dalam 1080p.

Sungguh pun ahli videografi profesional sentiasa merakam video dalam resolusi 4K, sesetengah ahli videografi masih mengeksport video terakhir mereka dalam 1080p, selepas ia disunting secara menyeluruh. Tujuan rakaman 4K adalah lebih kepada memberi banyak fleksibiliti dalam proses suntingan.

Inilah lima sebab kenapa kami mengesyorkan anda untuk merakam dengan resolusi 1080p dalam telefon pintar anda. Kami sedar bahawa teknologi telefon maju dengan sangat cepat, jadi semua isu di atas mungkin boleh diselesaikan dalam masa dua atau tiga tahun lagi. Tetapi buat masa ini, faedah 1080p untuk pengguna kasual lebih banyak berbanding 4K.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version