Site icon TechNave BM

6 syarikat telko tempatan kini berunding dengan DNB untuk pembayaran rangkaian 5G

Enam syarikat telekomunikasi tempatan kini telah bersetuju mengambil kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara dan kini sedang berunding dengan DNB bagi menentukan kadar pembayaran untuk penggunaan rangkaian tersebut.

Menurut Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, semua syarikat telko ini diberi masa sehingga 31 Ogos 2022 untuk bersetuju dengan syarat daripada DNB. Jika tidak, mereka berisiko untuk hilang akses kepada rangkaian 5G borong tunggal (single wholesale network).

Maxis dan U Mobile adalah dua syarikat telekomunikasi terkini yang bersetuju dengan pemilikan ekuiti DNB pada hari Isnin lalu. Empat lagi syarikat iaitu Celcom, DiGi, YTL dan Telekom Malaysia telah bersetuju lebih awal sebelumnya.

Selain itu, Tengku Zafrul juga mengesahkan bahawa beberapa syarikat telekomunikasi dari negara asing juga berminat untuk menawarkan perkhidmatannya di Malaysia. Sungguh pun begitu, syarikat tempatan akan diberikan keutamaan dalam infrastruktur 5G Malaysia.

Walaupun syarikat telekomunikasi perlu bersetuju dengan terma DNB sebelum 31 Ogos 2022, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa syarikat-syarikat ini mungkin akan melengahkan lagi tarikh tersebut untuk mengadakan lebih banyak rundingan.

Sebelum ini, kerajaan telah membuka peluang kepada enam penyedia perkhidmatan komunikasi untuk memiliki kepentingan ekuiti dalam DNB sebanyak 70 peratus. Enam syarikat itu termasuk Celcom Axiata, Digi.com, Maxis dan U Mobile (CDMU) akan berkongsi ekuiti secara sama rata, iaitu sekitar 12 peratus untuk setiap syarikat.

DNB adalah sebuah syarikat khas (special purpose vehicle, SPV) yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membina rangkaian 5G kebangsaan. Menurut laporan Straits Times sebelum ini, sebuah kertas terma tidak mengikat (non-binding term sheet) telah dipersetujui oleh enam syarikat telekomunikasi Malaysia untuk pemilikan ekuiti.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Malay Mail

Exit mobile version