Site icon TechNave BM

ABS bakal diwajibkan pada motosikal 150cc dan ke atas di Malaysia berikutan kajian MIROS

Kerajaan Malaysia akan mewajibkan pemasangan sistem brek anti kunci (ABS) untuk motosikal yang berkapasiti 150 cc dan lebih. Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, pemasangan ABS wajib kepada semua pengeluar motosikal yang ada di Malaysia. Namun, penguatkuasaan hanya akan bermula selepas dapatan kajian terperinci yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada MIROS untuk menjalankan kajian sebelum merancang untuk mewajibkan pelaksanaan penguatkuasaan peraturan dalam tempoh dua tahun selepas kajian tersebut selesai. Kajian ini merangkumi semua pihak berkepentingan termasuk industri pembuatan motosikal serta wakil daripada kumpulan pengguna.

Menurut kajian yang dijalankan oleh MIROS ke atas sistem ABS, teknologi itu didapati dapat mengurangkan kemalangan dan kematian melibatkan penunggang motosikal sekurang-kurangnya 30%. ABS membantu mengelakkan motosikal daripada terbabas dan kegagalan mengelak ketika situasi bahaya di jalan raya.

Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa pada tahun 2019 terdapat 6,000 kematian dalam kes jalan raya dicatatkan manakala tahun 2020 mencatatkan 4,658 kes kematian. Daripada jumlah ini, dua pertiga daripada jumlah kematian melibatkan penunggang motosikal.

Kajian MIROS mendapati penggunaan ABS mampu menyelamatkan 30% penunggang motosikal daripada kemalangan maut. Untuk pengetahuan, Thailand telah mewajibkan ABS untuk menjadi kelengkapan standard bagi semua motosikal yang dikeluarkan selepas 2024.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: SinChew

Exit mobile version