Acer Malaysia hari ini telah melancarkan sebuah penapis udara iaitu acerpure cool yang dilengkapi penapisan high-efficiency particulate air (HEPA) serta kipas untuk mengitar udara di sekeliling bilik. Penapis HEPA tersebut terdiri daripada pra-penapis, penapis karbon yang diaktifkan (activated carbon) dan penapis utama HEPA 13.
Acer mengatakan acerpure cool mampu menapis pelbagai jenis partikel dan bakteria dalam udara sehingga 99.97% serta menghilangkan gas berbahaya dan bau busuk. Acer turut mengatakan bahawa ia mampu membasmi penyebaran virus H1N1.
acerpure cool juga melepaskan ion-ion negatif bagi menghilangkan gas berbahaya seperti formaldehid dan partikel pejal seperti habuk (PM2.5). Kipasnya pula boleh digerakkan ke kiri dan kanan dengan sudut 80º serta atas dan bawah dengan sudut 90º untuk kitaran udara penuh dalam bilik seluas 27 meter persegi dalam masa tiga minit.
acerpure cool akan dijual di laman web Acer dan semua pengedar sah pada harga bermula RM1,299 dengan tawaran penggantian penapis HEPA bernilai RM199. Jika anda membelinya pada 5 Februari, anda boleh dapatkan harga promosi iaitu RM899. Beritahu kami di Facebook jika anda akan mendapatkan acerpure cool dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

