Site icon TechNave BM

Acer Nitro V 16S dilancar di Malaysia: Komputer riba “gaming” RTX 5060, Ryzen 7 bermula RM4,999

Acer Malaysia hari ini memperkenalkan komputer riba gaming nipis Acer Nitro V 16S yang menampilkan spesifikasi canggih dan dijual pada harga yang lebih mampu milik berbanding komputer riba gaming jenama lain.

Ia akan ditawarkan dalam empat varian CPU dan GPU. Dua variannya dilengkapi pemproses Intel Core 5 atau Intel Core 7 yang digabungkan dengan GPU NVIDIA GeForce RTX 5060, manakala dua varian lagi dilengkapi pemproses AMD Ryzen 7 atau AMD Ryzen 5 yang digabungkan dengan GPU NVIDIA GeForce RTX 5050.

Skrinnya berukuran 16 inci yang ditawarkan dalam resolusi WUXGA (1920×1200) atau WQXGA (2560×1600), kedua-duanya mempunyai nisbah aspek 16:10, kadar segar semula 180Hz, ketepatan warna sRGB 100% dan masa tindak balas 3 milisaat untuk pengalaman visual yang cantik untuk gaming dan kegunaan harian.

Ia mempunyai papan kekunci RGB empat zon yang boleh dilaraskan dengan pelbagai efek. Untuk penyejukan sewaktu gaming dan lain-lain tugas intensif, ia mempunyai sistem penyejukan dwi-kipas dengan empat lohong pengudaraan dan empat ekzos bagi meningkatkan aliran udara.

Acer Nitro V 16S akan dijual di Malaysia pada harga bermula RM4,999 serta boleh dibeli di Acer eStore, Shopee, Lazada serta pengedar Acer sah seluruh negara. Pelanggan yang membelinya sebelum 13 Oktober 2025 akan menerima tetikus wayarles Logitech G304 Lightspeed (bernilai RM129).

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan komputer ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version