Site icon TechNave BM

Acer Predator Triton 14 AI dan Helios Neo 14 AI turut dilancar, “gaming” berasaskan AI bermula ~RM8,169

Acer hari ini memperkenalkan dua model komputer riba gaming berprestasi tinggi yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi pelancaran Predator Triton 14 AI dan Predator Helios Neo 14 AI. Kedua-dua model ini menyasarkan golongan profesional, pencipta kandungan serta gamer tegar yang memerlukan prestasi grafik mantap dan prestasi pantas.

Predator Triton 14 AI merupakan model paling premium dalam barisan ini yang menampilkan skrin OLED berukuran 14.5 inci dengan resolusi WQXGA+ (2880 x 1800), kadar segar semula 120Hz, masa tindak balas 1ms dan liputan 100% gamut warna DCI-P3. Skrin ini turut disahkan Calman Verified menjadikannya sesuai untuk kerja profesional seperti penyuntingan video atau fotografi.

Ia dikuasakan oleh pemproses Intel Core Ultra 9 dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 versi laptop yang menyokong teknologi DLSS 4 serta pemacu NVIDIA Studio. Selain itu, ia hadir dengan memori sehingga 32GB LPDDR5X, storan SSD PCIe Gen 4 sehingga 2TB dan sistem penyejukan dwi kipas AeroBlade 3D generasi keenam.

Dengan ketebalan hanya 17.3mm dan berat 1.6kg, model ini membawa keseimbangan antara kuasa dan mobiliti. Ia juga menyokong fungsi-fungsi baharu Copilot+ PC seperti Live Captions dan Image Creator. Harga permulaan bagi Predator Triton 14 AI ditetapkan sekitar €2,999 (~RM14,420).

Acer turut melancarkan Predator Helios Neo 14 AI yang dilengkapi paparan OLED bersaiz 14.5 inci dengan resolusi 2.8K WQXGA+ (2880 x 1800), kadar masa tindak balas hanya 0.2ms dan liputan penuh DCI-P3. Ia dilengkapi pemproses Intel Core Ultra 9 285H serta pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 5070 Laptop GPU.

Spesifikasi dalaman juga menyokong memori sehingga 32GB dan storan SSD sehingga 2TB. Selain itu, ia hadir dengan sistem penyejukan canggih yang terdiri daripada kipas AeroBlade Gen-5, teknologi Vortex Flow dan bahan penyalur haba logam cecair. Sama seperti Triton, Helios Neo turut menyokong fungsi Copilot+ PC yang diperkenalkan bersama Windows 11 terkini.

Harga permulaan bagi model ini adalah sekitar €1,699 (~RM8,169). Kedua-dua komputer riba ini dijadualkan memasuki pasaran Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) mulai Julai 2025. Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai ketersediaan dan harga untuk pasaran Malaysia.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version