Site icon TechNave BM

ACO Tech lancarkan PROTON DX, pusat pengalaman digital automotif pertama Malaysia

Hari ini, ACO Tech melancarkan pusat pengalaman digital pertama negara, PROTON Digital Experience (PROTON DX). Pusat itu terletak di Quill City Mall, Kuala Lumpur di mana peminat kereta dan teknologi dari semua peringkat usia boleh berkumpul dan menyaksikan inovasi terbaharu dalam industri automotif.

Ia juga bertujuan menjadi platform bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mencetus minat dalam kalangan generasi muda. PROTON DX berkeluasan 5,275 kaki persegi menggabungkan elemen teknologi, rekreasi dan gaya hidup melalui enam zon.

Tumpuan utama PROTON DX ialah Kokpit Virtual yang berfungsi sebagai platform pengalaman konseptual, menggabungkan inovasi mobiliti masa depan. Zon pertama adalah Zon Aktiviti yang merupakan ruang interaktif dan juga boleh diguna sebagai ruang acara kolaboratif selaras dengan slogan di dinding “Let’s Shape the Future of Mobility”.

Zon kedua pula adalah Aico Café untuk pengunjung berehat, menikmati minuman dan makanan. Pengunjung juga boleh membeli aneka barangan cenderahati di Zon Gaya Hidup yang menampilkan pakaian aktif unik dan barangan gaya hidup hasil kolaborasi antara PROTON DX dan Joma.

Pada masa yang sama, pameran ATLAS Mall menyediakan produk yang dijual dalam aplikasi ATLAS Auto, barangan rasmi daripada jenama lain dalam Kumpulan Geely seperti Lynk & Co dan Zeekr turut dipamerkan. PROTON DX juga mempunyai perkhidmatan penghantaran kereta khas, Delivery Bay untuk meningkatkan keterujaan kepada pelanggan PROTON istimewa yang menerima kenderaan baharu mereka.

Pusat itu dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam dan terletak di Tingkat Bawah (Ground Floor), Quill City Mall, 1018, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut mengenai PROTON DX dan ACO Tech disediakan di laman web rasmi dan laman media sosial Facebook atau Instagram mereka.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version