Site icon TechNave BM

ADA Biotech rangkul juara Pilihan Juri di CLLA Kohort ke-20 dengan inovasi lestari

ADA Biotech Sdn Bhd telah dinobatkan sebagai pemenang utama kategori Pilihan Juri pada Hari Demo Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) Kohort ke-20, menewaskan sembilan syarikat pemula lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000. Acara yang berlangsung di RekaScape, Cyberjaya ini menyaksikan 10 syarikat mempamerkan inovasi dalam bidang seperti tenaga lestari, teknologi kesihatan, automasi pintar dan keterangkuman digital.

Kohort kali ini turut menyokong agenda Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) serta Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021–2030 dengan tumpuan terhadap transformasi digital, automasi dan pemudahcaraan urusan perniagaan. Pengerusi Cyberview, Dato’ Romli Ishak turut menegaskan dalam ucapan beliau bahawa penguasaan terhadap kedaulatan teknologi semakin penting ketika negara mendalami era digital.

Sepanjang lima bulan program berlangsung, syarikat-syarikat ini berjaya menarik pelaburan keseluruhan bernilai RM3.8 juta dengan sokongan daripada pelbagai rakan pembiayaan seperti Cradle, MDEC dan Nexea. Daripada 23 penyertaan awal, kemudian 16 pasukan mara ke pusingan seterusnya dan hanya 10 syarikat terpilih ke pusingan akhir termasuk ADA Biotech yang menghasilkan penyelesaian pembungkusan biodegradasi serta inovasi lain seperti sistem solar modular oleh TEASK, teknologi wearable untuk kesihatan otot oleh SilverPulse dan aplikasi kewangan pintar oleh Taxpool yang turut memenangi Anugerah Pilihan Penonton bernilai RM3,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad turut menekankan bahawa penyelesaian yang praktikal, boleh diskalakan dan relevan dengan keperluan masa depan masyarakat adalah jenis inovasi yang ingin mereka sokong. Beliau turut menyatakan bahawa peranan Cyberview bukan sekadar menyediakan infrastruktur, tetapi memperluaskan jaringan strategik dan memudahkan akses pembiayaan secara berterusan.

Cyberview terus menunjukkan komitmen dalam membina persekitaran yang menyokong pertumbuhan syarikat pemula di Cyberjaya yang kini menjadi kawasan dengan kepekatan tertinggi syarikat teknologi di Malaysia. Pencapaian kohort ini turut mencerminkan keyakinan kukuh ekosistem pembiayaan negara terhadap inovasi peringkat awal dan penglibatan rakan strategik utama menandakan usaha bersama dalam memperkukuh ekosistem teknologi nasional.

Sejak dilancarkan, CLLA telah membimbing 152 syarikat dengan jumlah pelaburan melebihi RM267.8 juta, dengan lebih 70% masih aktif dalam pasaran. Alumni terkenal termasuk MedKad, Monsta dan Mesolitica, membuktikan keberkesanan program ini dalam memacu teknologi tempatan ke peringkat antarabangsa.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version