Site icon TechNave BM

Adakah anda berminat dengan telefon pintar yang dibuat daripada gentian karbon?

Kebanyakan telefon pintar sekarang dibina dengan pelbagai bahan-bahan asas seperti besi, kaca, plastik, seramik dan sebagainya. Kini sebuah syarikat elektronik ingin memperkenalkan bahan baru yang boleh digunakan dalam pembuatan telefon pintar iaitu gentian karbon (carbon fiber).

Syarikat bernama Carbon Mobile telah memperkenalkan telefon pertama dalam dunia yang dibina daripada gentian karbon iaitu Carbon 1 Mark II. Ia dibina menggunakan HyRECM Technology (Hybrid Radio Enabled Composite Materials) untuk menggabungkan gentian karbon dengan bahan komposit lain yang membenarkan penembusan pancaran radio.

Dengan gentian karbon yang ringan, ia mempunyai berat hanya 125 gram dan ketebalan 6.3mm, membuatkannya antara telefon teringan dan ternipis dalam dunia. Sebagai rujukan, iPhone 11 mempunyai ketebalan 8.1mm dan berat 194 gram.

Daripada segi spesifikasi pula ia dilengkapi pemproses MediaTek Helio P90, skrin AMOLED 6.01 inci dengan Gorilla Glass 6, storan 128GB, bateri 3,050mAh dan dua kamera di bahagian belakang.

Gentian karbon ialah bahan yang digunakan dalam kereta F1, kapal terbang moden dan lain-lain jentera yang mengutamakan keringanan tanpa mengorbankan kekuatan struktur. Masih tiada berita untuk pasaran Malaysia, tetapi jika anda berminat untuk mendapatkan versi Eropah, anda boleh menempahnya di sini dengan harga bermula 800€ (~RM3,717) . Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version