Site icon TechNave BM

Adakah harga Samsung Galaxy Z Fold2 lebih tinggi, cecah RM10,000 di Malaysia?

Anda pastinya sudah tahu mengenai peranti boleh lipat Samsung Galaxy Z Fold2 yang telah diumumkan baru-baru ini. Menurut sumber, terdapat spekulasi bahawa harganya bakal lebih tinggi daripada Samsung Galaxy Fold yang lepas.

Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Z Fold2 masih belum dilancarkan secara rasmi, ianya hanya diumumkan sahaja. Maklumat mengenai spesifikasinya secara penuh juga belum didedahkan. Namun, Samsung telah mengesahkan bahawa ia bakal dirasmikan sepenuhnya pada 1 September ini.

Berdasarkan pelancarannya, ia hadir dengan pengoptimuman skrin kaca yang boleh dilipat, engsel yang lebih baik dengan rekaan skrin berlubang dan ukuran skrin tambahan yang lebih besar. Ia dijangka hadir dengan cipset Snapdragon 865+. Dengan kesemua naik taraf spesifikasi ini, agak logik jika sumber meramalkan harganya bakal menjadi lebih tinggi.

Terdapat sumber terdahulu yang meramalkan harga Galaxy Z Fold2 adalah $2795 berbanding Galaxy Fold hanya $2150. Di Malaysia, harga Galaxy Fold adalah RM8,388. Adakah ia bakal mencecah RM10,000? Persoalannya bakal terjawab mungkin pada perasmiannya di bulan September.

Apa pun, kesemua maklumat ini hanyalah jangkaan dan spekulasi sahaja. Kami berharap agar harganya setanding dengan spesifikasinya. Apakah pendapat anda? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Android Headlines

Exit mobile version