Site icon TechNave BM

Adakah ini reka bentuk OnePlus 10 Ultra?

OnePlus 10 Pro merupakan antara telefon pintar andalan (flagship) terawal yang dilancar pada 2022 dan OnePlus dikhabarkan bakal melancarkan sebuah lagi varian iaitu OnePlus 10 Ultra. Kini seorang pereka 3D dari Belanda, Concept Creator, telah menghasilkan imej janaan 3D untuk telefon tersebut berdasarkan paten dan lakaran yang telah tertiris.

Berdasarkan imej tersebut, OnePlus 10 Ultra mempunyai rekaan belakang yang serupa dengan OnePlus 10 Pro terutamanya pada bonggol kamera berbentuk petak dan bersambungan dengan rangka di bahagian sisi kanan. Bercakap tentang sisi, OnePlus 10 Ultra bakal mempunyai sisi melengkung (curved).

Bahagian sisi kiri menempatkan butang kawalan suara (volume), manakala sisi kanan pula menempatkan butang kuasa dan butang kawalan nada dering. Di hadapan, telefon ini mempunyai kamera swafoto dalam lubang punch hole yang kecil di bahagian atas kiri.

Perbezaan OnePlus 10 Ultra dengan varian OnePlus 10 lain mungkin adalah pada kameranya, di mana ia akan dilengkapi kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 50MP dan sebuah kamera telefoto. Selain itu, ia akan dilengkapi sensor pengimejan MariSilicon X NPU (neural processing unit) yang diperkenalkan oleh OPPO pada tahun lepas.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Let’s Go Digital

Exit mobile version