Site icon TechNave BM

Adakah PlayStation 5 bakal menjadi konsol PlayStation terakhir?

Konsol PlayStation 5 (PS5) merupakan antara peranti elektronik yang paling dinanti-nantikan pada tahun ini dan ia bakal dilancar dalam pasaran Malaysia pada 11 Disember. Walau bagaimanapun, terdapat laporan media yang mengatakan bahawa konsol tersebut mungkin bakal menjadi konsol terakhir yang akan dihasilkan oleh Sony.

Ini adalah kerana bilangan tahun di antara generasi konsol kini menjadi lebih panjang. Sebagai rujukan, PS5 dilancarkan tujuh tahun selepas pelancaran PlayStation 4 (PS4) pada 2013, lebih lama daripada tempoh antara PS4 dengan PlayStation 3 (PS3) iaitu selama enam tahun.

Teknologi game yang semakin canggih juga meningkatkan kos penghasilan konsol, selain tempoh pembangunannya yang lebih lama. Syarikat pembina konsol terpaksa menjual lebih banyak konsol demi mendatangkan keuntungan.

Pakar analisa daripada Citi Securities Japan mengatakan PS5 akan kekal relevan sehingga enam atau tujuh tahun lagi, namun jika teknologi gaming awanan (cloud gaming) menjadi lebih canggih pada masa akan datang, ia mungkin mampu menggantikan keperluan untuk memiliki konsol game. Gaming awanan adalah sebuah perkhidmatan dalam talian di mana segala pemprosesan gaming dilakukan dalam sebuah pelayan (server) berasingan dan akan distrim kepada skrin pengguna melalui internet.

Buat masa ini, gaming awanan masih tidak mempunyai infrastruktur yang kukuh namun ia mungkin akan berubah pada masa akan datang. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: My Drivers

Exit mobile version