Syarikat penerbangan tambang rendah tempatan AirAsia mengatakan mereka akan mengurangkan perkhidmatan daftar masuk (check-in) penerbangan melalui kaunter fizikal di semua lapangan terbang di Malaysia bermula 1 April 2022.
Syarikat itu mengambil langkah ini apabila mereka mengumumkan bahawa 95% daripada seluruh jumlah penumpang sudah beralih ke sistem daftar masuk melalui aplikasi AirAsia Super App dan laman web. Dua proses daftar masuk ini sudahpun diwajibkan ke atas penumpang sejak kemuncak wabak COVID-19 pada tahun lalu.
Berikutan penutupan kaunter daftar masuk bermula 1 April 2022, AirAsia tidak akan mengenakan caj daftar masuk melalui kaunter bermula hari tersebut. Hanya golongan penumpang terpilih sahaja yang perlu berdaftar masuk secara fizikal seperti warga emas, orang kurang upaya, penumpang bawah umur dan beberapa golongan lagi.
Penumpang boleh memuat turun aplikasi AirAsia Super App tanpa sebarang caj daripada Apple App Store, Google Play Store atau HUAWEI AppGallery.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan untuk terbang bersama AirAsia dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: AirAsia

