Site icon TechNave BM

AirAsia lancarkan perkhidmatan panggilan pelanggan dan penjejakan untuk tuntutan bayaran balik

AirAsia hari ini melancarkan perkhidmatan panggilan langsung (live call) dan penjejakan untuk tuntutan bayaran balik (refund tracking) dalam aplikasi airasia Super App bagi memudahkan para pelanggan untuk dapatkan penyelesaian segera dalam situasi mendesak.

Fungsi panggilan langsung akan membenarkan para pelanggan untuk berbual secara terus dengan pegawai perkhidmatan AirAsia, jika kes mereka dikenal pasti sebagai kes yang memerlukan penyelesaian segera seperti penerbangan yang akan berlepas dalam tempoh 24 jam, atau perubahan tiba-tiba dalam rancangan perjalanan kerana kecemasan.

Untuk pertanyaan am dan isu yang tidak penting, AirAsia menggalakkan para pelanggan untuk gunakan kemudahan layan diri dan bantuan sembang langsung yang terdapat pada airasia Super App dan chatbot Ask Bo.

Sementera itu, penjejakan bayaran balik pula telah diperkenalkan dalam aplikasi airasia Super App dan laman web AirAsia. Pelanggan hanya perlu menekan butang My Cases dan masukkan nombor kes mereka untuk dapatkan status terkini berkenaan tuntutan bayaran balik dengan lebih terperinci.

Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan, AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam, berkata syarikat itu ingin menghasilkan proses bayaran balik yang lebih telus. Mereka sedar bahawa ramai pelanggan yang tidak berpuas hati dengan kejelasan proses bayaran balik, jadi dengan pengenalan fungsi ini, mereka berharap boleh menenangkan fikiran para pelanggan.

AirAsia melaporkan mereka telah berjaya melunaskan 98.4% daripada tuntutan bayaran balik yang diterimanya sejak pandemik COVID-19 melanda pada Mac 2020.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: AirAsia

Exit mobile version