Site icon TechNave BM

AirAsia rancang jadi perkhidmatan seru pandu dan penghantaran makanan terbesar di Asia

Selepas menjadi syarikat penerbangan tambang rendah yang sangat popular, kumpulan AirAsia Group kini ingin meluaskan sektor perniagaannya ke dalam industri seru pandu (ride-hailing) dan penghantaran makanan. Perkara ini diumumkan setelah AirAsia memperolehi platform penghantaran makanan tempatan Delivereat.

Menurut ketua pegawai eksekutif Tan Sri Tony Fernandes, beliau yakin bahawa aplikasi airasia food dan airasia Super App bakal menjadi perkhidmatan penghantaran makanan, seru pandu dan agensi pelancongan yang popular di rantau Asia.

Beliau mengumpamakan situasi terkini seperti sewaktu beliau mula berkecimpung dalam industri penerbangan, di mana AirAsia hanya bermula dengan dua buah pesawat yang menerbangkan 200,000 penumpang. Kini, AirAsia memiliki ratusan pesawat dan telah menerbangkan 90 juta penumpang.

Oleh itu, beliau mengatakan AirAsia Group boleh mencatatkan sejarah sama untuk industri baru ini dan ingin mengembangkan perkhidmatan aplikasi itu ke Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.

Fernandes juga telah melantik pengasas Delivereat, Tan Suan Sear, sebagai Ketua Kumpulan airasia food dan Leong Shir Mein sebagai Ketua Permintaan (Head of On-Demand) untuk Teleport iaitu syarikat cawangan AirAsia yang mengendalikan penghantaran barang.

Kongsi pendapat anda tentang aplikasi ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Edge

Exit mobile version