Site icon TechNave BM

AirPods terima ciri baharu – Rakaman studio, kawalan kamera dan pengesan tidur

Apple dalam acara WWDC 2025 memperkenalkan ciri-ciri baharu untuk AirPods termasuk rakaman audio berkualiti studio, fungsi kawalan kamera jarak jauh dan keupayaan mengesan waktu tidur. Ciri ini akan hadir pada AirPods generasi ke-4, AirPods 4 (ANC) dan AirPods Pro generasi ke-2 yang akan tersedia melalui kemas kini iOS 26, iPadOS 26 dan macOS Tahoe 26 pada September ini.

Rakaman audio baharu membolehkan pengguna merakam suara berkualiti tinggi dengan lebih jelas walaupun dalam persekitaran bising. Teknologi ini memanfaatkan cip H2, mikrofon beamforming dan audio berkomputasi digabungkan dengan ciri Voice Isolation untuk menghasilkan suara yang lebih semula jadi serta jernih semasa rakaman atau panggilan.

Ia menyokong aplikasi seperti Voice Memos, Mesej, FaceTime, Webex dan pelbagai aplikasi pihak ketiga di iPhone, iPad serta Mac. Fungsi kawalan kamera pula membolehkan pengguna mengambil gambar atau memulakan rakaman video dengan hanya menekan dan menahan batang AirPods semasa menggunakan aplikasi Kamera atau aplikasi kamera pihak ketiga.

Tekanan kedua akan menghentikan rakaman. Ciri ini dilihat berguna untuk pencipta kandungan yang mahu merakam diri mereka dari jauh tanpa bantuan tambahan. Satu lagi kemas kini menarik adalah keupayaan AirPods untuk mengesan bila pengguna tertidur dan secara automatik menghentikan main balik muzik atau audio.

Apple memaklumkan bahawa perisian baharu ini kini boleh diuji melalui Program Pembangun Apple manakala versi beta awam akan tersedia bulan depan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang berita ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Apple

Exit mobile version