Satu laporan terbaharu mendedahkan bahawa OPPO sedang melaksanakan pelan penyatuan syarikat yang akan menamatkan penggunaan OxygenOS dan realme UI pada peranti global akan datang. Langkah penstrukturan korporat ini melibatkan pemindahan kesemua peranti OnePlus, realme dan OPPO ke satu antaramuka tunggal iaitu ColorOS.
Keputusan tersebut diambil bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan bagi kos pembangunan perisian. Langkah agresif ini menamatkan operasi tiga pasukan pembangunan perisian Android berbeza yang sebelum ini diselia di bawah payung korporat BBK Electronics.
Bagi mengurangkan kos penyelidikan dan pembangunan yang bertindih, telefon pintar masa hadapan bagi ketiga-tiga jenama ini akan menggunakan ColorOS sepenuhnya secara rasmi. Isyarat awal peralihan ini sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2021 apabila kod asas perisian bagi jenama-jenama ini disatukan.
Malah, OnePlus terlebih dahulu telah menggantikan perisiannya kepada ColorOS untuk pasaran domestik China sebelum ini. Selain daripada pemansuhan perisian, beberapa petunjuk pasaran turut memperlihatkan perubahan operasi yang sedang berlaku secara senyap.
Di pasaran Eropah, laman web rasmi OnePlus didapati mula mengarahkan pengunjung untuk melihat penawaran peranti utama OPPO. Pada masa yang sama, stok jualan peranti di United Kingdom dan Amerika Syarikat juga dilaporkan semakin berkurangan tanpa sebarang tanda pengenalan model baharu.
Laporan turut menyatakan bahawa OPPO mula membatalkan barisan produk global bagi jenama berkenaan untuk mengecilkan fokus perniagaan kepada pasaran India dan China sahaja. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: SmartPrix

