Site icon TechNave BM

AKASO EK7000 dilancar di Malaysia: Kamera aksi 4K, tahan lasak berharga RM299

AKASO Malaysia hari ini melancarkan kamera aksi mampu milik iaitu AKASO EK7000 yang dijual pada harga RM299 sahaja. Walaupun dengan harga yang mampu milik, ia masih mempunyai pelbagai ciri-ciri rakaman yang canggih serta rekaan tahan lasak.

Ia boleh merakam video pada resolusi 4K30fps dan mengambil gambar 20MP. Sewaktu merakam video, ia mempunyai penstabilan Electronic Image Stabilisation (EIS) yang boleh hasilkan rakaman stabil walaupun anda banyak bergerak.

Seperti kebanyakan kamera aksi lain, ia mempunyai lensa super lebar yang boleh merakam banyak butiran. Fail rakaman videonya disimpan dalam format MOV manakala gambar pula pada format JPG.

Untuk ketahanan, ia kalis air sehingga paras kedalaman 40 meter atau 131 kaki jika dipasangkan bersama bekas pelindung yang disertakan dalam kotak, supaya anda boleh rekod pengembaraan dalam air.

Ia mempunyai beberapa mod rakaman seperti video standard, time-lapse, rakaman gelung (loop video), gambar time-lapse dan gambar burst. Untuk pilihan resolusi dan kadar bingkai, ia boleh merakam video dengan tetapan 4K30fps, 1080P60fps, 1080P30fps, 720P120fps dan 720P60fps.

Baterinya berkapasiti 1,050mAh dan mampu merakam video 4K selama 90 minit. Anda akan menerima pelbagai aksesori bersama kamera ini supaya ia boleh dipakaikan pada pelbagai jenis permukaan dan kelengkapan badan.

AKASO EK7000 boleh dibeli di Shopee, Lazada dan TikTok Shop. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version