Selepas akaun Twitter untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ditutup pada awal tahun ini berikutan ciapan tidak senonoh yang dilakukan dalam akaun tersebut pada 2014, SKMM kini telah membina akaun Twitter rasmi yang baharu bagi menggantikan akaun lama itu.
Akaun Twitter rasmi SKMM kini adalah @MCMC_RASMI dan segala kenyataan media serta pengumuman awam akan dikongsi dalam akaun tersebut. Mereka telah menulis ciapan pertama pada 5 Julai (semalam) di mana SKMM menasihati rakyat untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental jika emosi mereka terganggu.
Pada awal tahun ini, netizen Malaysia dikejutkan dengan beberapa ciapan lama dalam akaun @SKMM_MCMC yang ditulis pada 2014, di mana ia mengandungi kata-kata kesat dan pelbagai ayat yang tidak sepatutnya ditulis oleh agensi rasmi kerajaan. Susulan kejadian tersebut, SKMM telah menutup akaun Twitter itu dan membuka kertas siasatan untuk mengkaji punca ciapan-ciapan berkenaan.
Sehingga hari ini, hasil siasatan tersebut masih belum dikongsi oleh SKMM. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

