Site icon TechNave BM

Akhirnya, takuk iPhone 13 akan lebih kecil, tapi spesifikasi lain tidak berubah sehingga 2022

Terdahulu, beberapa sumber sudah pun mengeluarkan ura-ura dan jangkaan awal mengenai siri iPhone yang seterusnya. Sumber kini melaporkan bahawa iPhone seterusnya yang ditujukan kepada iPhone 13 tidak akan hadir dengan perubahan besar, selain daripada beberapa perubahan kecil pada reka bentuknya.

Siri iPhone 12 telah hadir dengan beberapa perubahan spesifikasi seperti skrin Super Retina XDR OLED, sokongan 5G dan naik taraf kamera terutama untuk variasi Pro. Jadi, tidak mustahil jika kali ini Apple ingin fokus kepada naik taraf kecil untuk rekaan pula.

Menurut laporan, iPhone 13 mungkin hadir dengan rekaan kamera belakang yang kurang bonjolnya dan takuk skrin hadapan yang lebih kecil. Takuk yang lebih kecil dijangka berpunca daripada beberapa perkakas yang dialih posisinya ke bahagian hujung peranti. Terdahulu, sudah terdapat dokumen yang memaparkan takuk kecil iPhone. Di sisi yang lain, ketebalan peranti pula mungkin bertambah sehingga kira-kira 0.26mm.

Semestinya, siri iPhone 13 bakal hadir dengan cipset A15 Bionic yang lebih berprestasi dan mungkin menyokong kadar segar semula 120Hz. Anda boleh membaca berita lepas mengenai jangkaan iPhone seterusnya.

Apakah pendapat anda mengenai laporan tidak rasmi ini? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Macrumors

Gambar dari Wccftech

Exit mobile version