Site icon TechNave BM

Alami detik-detik cemas dalam insiden Apollo 13 secara ‘real-time’

Sempena menyambut ulang tahun ke-50 misi bulan Apollo 13 di mana kapal angkasa tersebut mengalami kesukaran di angkasa, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Amerika Syarikat (NASA) akan menganjurkan beberapa program menarik untuk para peminat bidang angkasa. Mungkin yang paling menarik adalah Apollo 13 In Real Time, di mana netizen boleh mengalami keseluruhan misi tersebut selama tujuh hari dengan rakaman perhubungan radio penuh oleh angkasawan yang berada dalam kapal angkasa itu serta pasukan di daratan (ground crew).

Apollo 13 In Real Time menampilkan audio asal yang berdurasi lebih 17,000 jam di mana netizen boleh memainkannya dalam masa sebenar (real-time) atau pilih detik-detik yang menarik (mission milestones). Netizen juga boleh memilih audio spesifik oleh individu tertentu dalam Mission Control, seperti Flight Ops Director (FOD), Mission Director (MSN DIR), Capsule Communicator (CAPCOM) dan lain-lain.

Transkrip audio juga akan dimainkan dalam masa sebenar, di mana netizen boleh membaca apa yang dicakapkan dengan jelas kerana rakaman audio Apollo 13 agak kabur. Di samping anda mendengar rakaman audio tersebut, anda juga boleh belajar lebih banyak tentang misi itu melalui gambar Bumi yang diambil daripada Apollo 13 serta butiran tentang kapal angkasa itu.

Selain laman web ini, NASA juga menganjurkan sesi perbincangan di media sosial dengan hashtag #AskNASA, penyiaran langsung (live-streaming) kejadian Supermoon pada 7 April bersama kakitangan NASA, podcast khas, rakaman video dalam kapal angkasa Apollo 13 sewaktu misi dan banyak lagi.

Jadi program Apollo 13 yang manakah anda akan sertai? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: NASA

Exit mobile version