Site icon TechNave BM

Alat pendengaran wayarles terkini Logitech dapat pengiktirafan Google, Zoom dan Microsoft

Logitech hari ini telah mengumumkan siri alat pendengaran Zone yang dilancar dalam varian berwayar dan wayarles. Mereka mahukan penggunanya untuk tampil dengan lebih bergaya di depan kamera ketika persidangan video atas talian yang secara beransur-ansur menjadi norma sejak wabak COVID-19 melanda.

Selain mendakwa sebagai true wireless earbuds pertama yang diiktiraf oleh Zoom, Microsoft dan Google, earbuds ini juga mempunyai dua sambungan tersedia iaitu Bluetooth dan teknologi wayarles 2.4 GHz Logitech yang boleh dihubungkan kepada komputer riba atau telefon pintar melalui penerima (receiver) USB.

True wireless earbuds ini juga mempunyai pembatalan bunyi hingar aktif (ANC) dan mikrofon pengurangan kebisingan supaya suara dapat disampaikan dengan lebih jelas. Ukuran kecil earbuds wayarles ini menambahkan lagi ciri keistimewaanya yang mana anda tidak perlu membawa satu set fon kepala yang berat.

Logitech berjanji bahawa ia akan mempunyai dua kali ganda hayat bateri berbanding jenama terkemuka lain di pasaran. Namun menurut data rasmi, jangka hayat bateri semasa membuat panggilan berterusan adalah selama 6 jam (ANC aktif) dan 6.5 jam (ANC dimatikan) sementara waktu mendengar hanya 9 jam (ANC aktif) dan 12 jam (ANC dimatikan). Kotaknya pula memberikan lebih banyak cas sebanyak 2.5 kali ganda berbanding fon telinga.

Selain daripada produk true wireless earbuds, Logitech juga mengeluarkan produk earbuds berwayar iaitu Zone Wired Earbuds. Zone Wired Earbuds menyediakan sambungan bicu audio 3.5mm, penyambung USB-C, pilihan USB-C ke USB-A dan mempunyai butang kawalan wayar yang kecil. Butang kawalan wayar terbahagi kepada dua versi iaitu Microsoft Teams atau kegunaan umum. Kedua-duanya mempunyai butang “bisu” dan “main/jeda”, manakala butang di bahagian tengah mempunyai fungsi untuk memulakan Teams pada aplikasi Microsoft Teams.

Zone True Wireless Earbuds akan dilancarkan dalam warna grafit dan mawar (rose). Harganya bermula US$299 (~RM1,264) dan Zone Wired Earbuds ialah US$99 (~RM418.80). Kedua-duanya dijadualkan dilancarkan secara global pada musim luruh (September-Disember).

Apa pun, nantikan berita lanjut mengenai peranti ini di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Engadget

Exit mobile version