Site icon TechNave BM

Alibaba Malaysia anjurkan LiveNOW untuk bantu golongan B40 tingkatkan kemahiran e-perniagaan

Alibaba Group telah mengumumkan penganjuran semula Program Latihan LiveNOW iaitu sebuah program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) untuk golongan B40 di kalangan rakyat Malaysia yang bertujuan membina potensi mereka dalam dunia e-niaga interaktif.

Program ini mula diperkenalkan sejak 2020 dan pada kali ini, ia ditujukan kepada pemilik perniagaan dan usahawan mikro yang berminat untuk mengacarakan siaran langsung atau video mereka mereka sendiri dalam internet. Ia juga direka bentuk untuk individu yang berminat meneroka kerjaya sebagai penstrim langsung KOL (pemimpin pendapat utama) atau pembikin video dalam talian.

Ia akan dianjurkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris pada 25 Jun, Bahasa Malaysia pada 2 Julai dan Bahasa Mandarin pada 9 Julai. Semua sesi latihan ini akan diadakan secara dalam talian untuk menampung penyertaan ramai individu dari seluruh negara.

Para peserta berpeluang menimba ilmu daripada penceramah undangan pakar, wakil-wakil daripada Taobao Malaysia dan Lazada Malaysia serta para KOL berjaya yang akan berkongsi pengalaman mereka. Alibaba menyasarkan untuk melatih 300 orang peserta pada tahun ini, dengan kolaborasi MODEN KOL Academy, Human Resource Development Corporation (HRD Corp), MYNIC Berhad, Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC).

Peserta yang melengkapkan latihan akan menerima sijil digital rasmi dan boleh menyertai Komuniti LazTalent iaitu kumpulan KOL penstriman langsung akar umbi oleh Lazada. Mereka boleh menyertai Lazada sebagai penjual di Lazada Marketplace dan menikmati manfaat di bawah Hari-Harimau New Seller Kickstarter Package oleh Lazada Malaysia.

Anda boleh daftarkan diri di laman web ini jika anda berminat untuk menyertainya. Ia dibuka untuk semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berasaskan konsep siapa cepat, dia dapat.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version