Site icon TechNave BM

Alibaba perkenal model AI baharu, dakwa atasi DeepSeek-V3

Alibaba telah melancarkan model kecerdasan buatan (AI) terbaharu yang didakwa mengatasi keupayaan DeepSeek-V3. Langkah ini menandakan usaha berterusan Alibaba dalam memperkukuh kedudukannya dalam industri AI yang semakin kompetitif.

Model baharu ini merupakan sebahagian daripada keluarga Qwen 2.5 yang pertama kali diperkenalkan pada Mei tahun lalu. Ia menawarkan pelbagai saiz dengan parameter antara 0.5 hingga 72 bilion dan direka untuk meningkatkan aplikasi AI dalam pelbagai sektor seperti automotif, permainan dan penyelidikan saintifik.

Selain itu, model ini menyokong lebih daripada 29 bahasa. Berbeza dengan pesaing seperti Baidu dan OpenAI yang cenderung kepada pendekatan tertutup, Alibaba menggabungkan model pembangunan proprietari dan sumber terbuka untuk memperluas rangkaian produk AI mereka.

Pendekatan hibrid ini membolehkan mereka memenuhi keperluan pelbagai industri dengan lebih fleksibel. Selain itu, Alibaba turut memperkenalkan model teks-ke-video baharu dalam siri penjanaan imej Tongyi Wanxiang mereka.

Langkah ini meletakkan Alibaba bersaing secara langsung dengan pemain global seperti OpenAI dan ByteDance yang baru-baru ini melancarkan aplikasi teks-ke-video mereka, Jimeng AI, untuk pengguna di China.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version