Amap, salah satu platform navigasi terkemuka di China telah melancarkan peta bahasa Inggeris pertama khas kepada pengguna antarabangsa. Langkah ini bertujuan mempermudah navigasi di China bagi pelancong asing yang menandakan transformasi besar dalam industri pelancongan negara itu.
Walaupun telah dilancarkan, peta bahasa Inggeris ini masih dalam fasa beta dan hanya boleh diakses oleh pengguna luar negara yang berada di China. Pada peranti iOS, pilihan bahasa Inggeris masih belum berfungsi sepenuhnya. Amap menjelaskan bahawa ciri ini sedang diperhalusi dan akan diperkenalkan secara berperingkat selepas ujian.
Selain navigasi, Amap menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk kemas kini trafik masa nyata, lokasi stesen pengecasan kenderaan elektrik, tempahan restoran dan bantuan perjalanan. Dengan integrasi ekosistem Alibaba seperti Alipay dan Fliggy, platform ini menjadi penyelesaian serba lengkap untuk keperluan pelancong.
Pengenalan peta bahasa Inggeris ini dijangka merevolusikan pelancongan di China dengan merapatkan jurang bahasa menjadikan perjalanan lebih mudah dan mesra bagi pelancong asing. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: ITHome

