Amazfit secara rasmi melancarkan Amazfit Cheetah 2 Pro di Malaysia yang merupakan sebuah jam pintar berorientasikan prestasi disasarkan pengguna aktif dan pelari jarak jauh yang mahukan data latihan lebih tepat serta menyeluruh. Ia hadir dengan skrin 1.32 inci AMOLED beresolusi 466 × 466 piksel yang menawarkan tahap kecerahan sehingga 3,000.
Untuk rekaan, Cheetah 2 Pro tampil lebih premium dengan penggunaan rangka titanium serta perlindungan sapphire glass yang menaikkan standard ketahanan berbanding jam pintar kelas pertengahan biasa.
Untuk penjejakan lokasi, ia dilengkapi sistem GPS dual-band dengan sokongan multi-satellite positioning yang bertujuan memberikan ketepatan lebih tinggi terutama ketika larian bandar atau kawasan mencabar. Bahagian kesihatan dan latihan pula dipacu oleh ekosistem Zepp Coach AI yang menawarkan pelan latihan automatik berdasarkan prestasi pengguna.
Selain itu, ia menyokong lebih 170 mod sukan termasuk larian, berbasikal, triathlon dan latihan kecergasan lain. Amazfit mendakwa peranti ini mampu bertahan sehingga 20 hari penggunaan biasa dan sekitar 31 jam dalam mod GPS berterusan. Amazfit Cheetah 2 Pro dijual di Malaysia dengan harga RM2,099.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Amazfit

