Site icon TechNave BM

Amazon Prime Video perkenalkan lebih banyak filem dan siri TV khusus untuk penonton Malaysia

Pada hari ini, perkhidmatan penstriman video popular Amazon Prime Video mengumumkan bahawa mereka akan menawarkan lebih banyak kandungan filem dan siri televisyen yang diterbitkan khusus untuk para penonton di Malaysia. Mereka bakal melancarkan dua siri tempatan yang diterbitkan sendiri bawah Amazon Originals iaitu That Cover Girl dan Budak Flat.

That Cover Girl adalah sebuah drama romantik yang mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan yang ingin mengekalkan perniagaan fesyennya, manakala Budak Flat adalah sebuah filem aksi yang mengisahkan tentang konflik gangster yang tercetus dalam kawasan rumah pangsa.

Rakyat Malaysia yang berminat dengan Prime Video boleh melanggan kepada tempoh percubaan selama tujuh hari, kemudian mereka perlu membayar yuran langganan sebanyak RM25 sebulan. Pelanggan boleh menonton pelbagai filem terkini dari seluruh dunia yang diterbitkan oleh Amazon, seperti AIR, Citadel, The Boys dan Rings of Power.

Dalam minggu-minggu akan datang, Prime Video akan turut menawarkan filem tempatan popular seperti Abang Long Fadil 3, Juang, Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Imaginur, Headhunter, Stone Turtle, KL Gangster, Munafik dan BoBoiBoy.

Untuk filem-filem antarabangsa pula, Prime Video akan mula menawarkan sarikata dan alih bahasa dalam Bahasa Melayu.

Layari laman web Prime Video untuk maklumat lanjut atau muat turun aplikasinya dari Google Play, Apple App Store atau Microsoft. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version