Site icon TechNave BM

Analisis Opensignal: Rakyat Malaysia lebih banyak guna data Internet di telefon sebab tiada WiFi

Syarikat penganalisis Opensignal kini tampil dengan analisis penggunaan data mudah alih dan pengalaman semasa pandemik COVID-19 di beberapa negara termasuk negara Malaysia. Anda boleh melihat penggunaan data mudah alih oleh rakyat Malaysia pada graf yang tersedia.

Melihat kepada graf, terdapat dua garisan yang menunjukkan purata penggunaan data (Average Data Consumption) dan pengalaman kelajuan muat turun (Download Speed Experience). Anda boleh melihat purata penggunaan data mudah alih yang menjunam naik pada bulan Mac dan kelajuan muat turun yang menjunam turun pada bulan yang sama.

Hal ini adalah kerana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac, syarikat telekomunikasi telah mengehadkan kelajuan data agar semua pengguna dapat menikmati kestabilan Internet yang baik.

Selain Malaysia, negara lain yang mengalami nasib sama adalah India, Indonesia, Myanmar, Peru, Saudi Arabia dan Thailand. Namun, anda boleh melihat ketiadaan perubahan ketara pada negara luar lain seperti AS, Australia dan lain-lain.

Opensignal menyatakan bahawa oleh kerana arahan duduk di rumah semasa penularan COVID-19, kebanyakan pengguna sepatutnya sudah mempunyai akses Internet menggunakan WiFi dan tidak menggunakan data mudah alih. Hal ini menyebabkan terdapat beberapa negara yang mempunyai graf yang menjunam turun pada penggunaan data mudah alih.

Perkara ini turut membawa kepada idea bahawa negara yang masih membangun (contohnya Malaysia) masih kurang akses kepada WiFi memandangkan garis purata penggunaan data mudah alih semasa musim PKP naik dengan mendadak.

Adakah anda termasuk dalam kategori pengguna yang bergantung kepada data mudah alih sepenuhnya? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Baca laporan penuh Opensignal disini.

Exit mobile version