Meta mengumumkan peluasan global paparan iklan di Threads selepas setahun platform itu menjalani ujian terhad di beberapa pasaran terpilih. Langkah ini menandakan peralihan Threads daripada fasa percubaan kepada pelaksanaan komersial berskala penuh dengan iklan akan diperkenalkan secara berperingkat kepada semua pengguna dan pasaran di seluruh dunia.
Sebelum ini, iklan di Threads hanya diuji dalam skala kecil dengan pengiklan di Amerika Syarikat dan Jepun antara yang terawal terlibat. Bermula minggu hadapan, Meta akan memulakan peluasan iklan secara global dengan pelaksanaan dijangka mengambil masa beberapa bulan bagi memastikan sistem dapat diskalakan secara berperingkat.
Keputusan ini dibuat susulan pertumbuhan pesat Threads yang kini dianggarkan mempunyai sekitar 400 juta pengguna aktif bulanan menjadikannya komponen semakin penting dalam ekosistem media sosial Meta. Iklan di Threads akan dipaparkan secara natif dalam suapan utama aplikasi dan menyokong format biasa seperti imej, video dan karusel sama seperti di Facebook dan Instagram.
Meta memaklumkan iklan ini dikuasakan oleh sistem pengiklanan berasaskan kecerdasan buatan yang menyesuaikan kandungan iklan berdasarkan tingkah laku dan minat pengguna. Bagi pengiklan, Threads menambah platform iklan baharu dalam sistem Meta Ads yang membolehkan iklan sama di Facebook atau Instagram turut dipaparkan di Threads tanpa perlu bina kempen baharu.
Ini membolehkan jenama mencapai audiens Threads tanpa perlu membina strategi iklan yang berasingan. Walaupun iklan kini diaktifkan secara global, Meta menegaskan bahawa penghantaran iklan akan bermula pada kadar rendah. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Facebook

