Site icon TechNave BM

Anda boleh bantu saintis dapatkan penawar COVID-19 – dengan hanya menggunakan komputer di rumah

Sambil anda berada di rumah sewaktu Perintah Kawalan Gerakan ini, anda juga boleh membantu saintis mendapatkan penawar COVID-19 dengan menggunakan komputer anda sahaja. Folding@home (FAH), sebuah projek sains antarabangsa yang menggunakan simulasi komputer untuk menyelidik corak tingkah laku protein dalam penyakit, mengalu-alukan bantuan daripada komputer anda dalam usaha untuk mencari penawar bagi COVID-19.

Memandangkan virus juga mempunyai protein asas yang melemahkan sistem imunisasi badan dan membiakkan lebih banyak virus, FAH perlu mengkaji bagaimana struktur protein dalam koronavirus ini berfungsi dan membina penawar terapeutik berdasarkan maklumat tersebut. Simulasi komputer menunjukkan bagaimana atom dalam protein bergerak dan memberi lebih banyak informasi tentang virus yang dikaji.

Kajian ini memerlukan tenaga komputer (computing power) yang amat tinggi dan di sinilah anda boleh membantu. Anda boleh memuat turun perisian FAH dalam komputer anda dan menyumbang sedikit tenaga komputer kepada simulasi FAH. Walau bagaimanapun, anda perlu mengetahui spesifikasi komputer anda. Jika anda menggunakan komputer riba, lebih elok jika anda tetapkan pada preset ringan (Light) manakala jika anda memiliki komputer gaming, tiada masalah untuk anda tetapkan kepada preset penuh (Full).

Bersama kita boleh tangani krisis besar ini! Beritahu kami di Facebook jika ini adalah sesuatu yang anda berminat untuk sertai dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Folding@home, TechRadar

Exit mobile version