Site icon TechNave BM

Anda boleh naik kenderaan awam terpilih secara percuma pada hari PRU15

Prasarana Malaysia Berhad mengumumkan bahawa semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kendaliannya akan memberi tambang percuma sewaktu hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk menghadirkan diri ke pusat mengundi.

Tambang percuma ini diberikan untuk perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti.

Mereka yang melanggan kepada My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch ‘n Go tidak akan dikenakan sebarang caj, namun mereka perlu memastikan bahawa terdapat baki sekurang-kurangnya RM5.00 dalam kad. Penumpang yang ingin menggunakan token perlu datang ke Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk dapatkan token khas.

Untuk perkhidmatan bas pula, para penumpang tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas sewaktu menaiki atau turun daripada bas.

Para penumpang juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi PULSE di Google Play Store dan Apple App Store untuk maklumat terkini tentang pengangkutan awam serta merancang perjalanan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version