Site icon TechNave BM

Anda boleh rentas negeri dan keluar negara bermula 11 Oktober 2021

Dalam sebuah sidang media khas pada hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah mengumumkan bahawa rakyat Malaysia kini boleh merentas negeri bermula hari Isnin, 11 Oktober 2021. Bermula tarikh tersebut, kerajaan tidak akan menubuhkan sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri yang dikhaskan untuk mengelakkan pergerakan orang awam bagi membendung COVID-19.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan COVID-19 masih berkuat kuasa dan rakyat perlu mematuhinya. Di samping itu, kawasan yang berada dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih tidak boleh dimasuki oleh orang luar.

Selain itu, hanya rakyat yang telah menerima dua dos vaksin COVID-19 akan dibenarkan untuk merentas negeri. Secara teori, mereka yang belum melengkapkan vaksin masih boleh merentas negeri kerana tiada SJR yang akan menghalang mereka, namun polis masih boleh mengadakan semakan rawak untuk melihat sama ada rakyat yang telah merentas negeri sudah melengkapkan pemvaksinan atau tidak.

Selain kebenaran merentas negeri, Datuk Seri Ismail Sabri turut menjelaskan bahawa rakyat yang telah lengkap dua vaksin boleh keluar dari negara untuk tujuan pelancongan, bermula hari Isnin, 11 Oktober 2021. Rakyat tidak perlu lagi memohon MyTravelPass dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk kebenaran keluar negara.

Sungguh pun begitu, rakyat masih perlu mematuhi beberapa prosedur. Mereka yang telah keluar negara, perlu menjalani swab test di negara luar tiga hari sebelum tarikh pulang, kemudian perlu menjalani swab test sekali lagi apabila mereka tiba di pintu masuk negara.

Mereka juga perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke negara. Kuarantin boleh dilakukan di rumah atau pusat kuarantin yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setakat ini, pelancong asing masih tidak dibenarkan untuk masuk ke Malaysia. Orang luar negara hanya boleh masuk ke Malaysia untuk tujuan rasmi kerajaan, perniagaan atau kecemasan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version