Site icon TechNave BM

Anda digalakkan muat turun aplikasi Price Catcher untuk bantu kerajaan kawal kenaikan harga barang

Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil menggesa rakyat Malaysia dan Komuniti MADANI untuk memuat turun aplikasi Price Catcher bagi membantu Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menangani isu kenaikan harga barang yang mendadak.

Aplikasi tersebut membenarkan pengguna untuk membandingkan harga barang dengan mudah dan jika mereka mendapati sebuah produk dijual pada harga yang lebih tinggi di sebuah kedai, Komuniti MADANI boleh memaklumkan kepada pegawai penerangan daerah tempatan untuk tindakan lanjut.

Price Catcher telah dibangunkan oleh KPDN dan memaparkan harga untuk 480 barangan terpilih di pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit yang dipantau. Ia mengandungi harga untuk enam kategori barangan iaitu barangan segar, barangan kering, barangan berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman.

Beliau berharap dengan penggunaan aplikasi tersebut, ia dapat memainkan peranan yang lebih serius dalam memantau harga barang, terutamanya selepas kenaikan gaji penjawat awam pada bulan Disember 2024.

Komuniti MADANI adalah sebuah badan sukarela yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang serta ditadbir urus oleh Jabatan Penerangan Malaysia. Ia ditubuhkan sejak bulan Jun lalu bagi membantu menggerakkan komunikasi kerajaan dengan lebih berkesan.

Price Catcher boleh dimuat turun daripada Apple App Store atau Google Play Store. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan aplikasi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version