Site icon TechNave BM

Anda dinasihatkan untuk mengemas kini MySejahtera bagi menjejak penyebaran pelbagai penyakit

Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mengemas kini aplikasi MySejahtera mereka bagi membantu kerajaan mengenal pasti corak penyebaran pelbagai jenis penyakit. Versi terbaru iaitu 1.1.9 telah pun disediakan dalam platform Google Play Store, Apple App Store dan HUAWEI AppGallery.

Fungsi terbaharu yang dinamakan Pengesanan Hotspot (Pengesan Penyakit Berjangkit) itu boleh mengesan titik panas kes penyakit yang mudah tersebar seperti penyakit Anjing Gila (Rabies), Demam Campak (Measles), Denggi dan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), di samping COVID-19.

Ia juga akan memaparkan jumlah kes aktif untuk penyakit-penyakit tersebut, berdasarkan laporan daripada Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri.

MySejahtera menegaskan bahawa fungsi ini tidak melibatkan penggunaan dan perkongsian data peribadi anda.

Kongsi pendapat anda tentang aplikasi ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version