Site icon TechNave BM

Anda kini boleh buang maklumat peribadi jika ia muncul dalam carian Google

Google mengumumkan bahawa mereka akan benarkan pengguna untuk membuat permohonan bagi membuang sebarang maklumat peribadi (personally identifiable information, PII) yang boleh muncul dalam enjin carian tersebut. Maklumat peribadi ini termasuklah alamat rumah, nombor telefon dan e-mel.

Jika anda ternampak maklumat peribadi anda dalam hasil carian Google dan mahu ia dipadam, anda boleh layari laman web Google Support dan klik pada Start Removal Request. Kemudian, anda perlu isikan butiran tentang maklumat peribadi yang ingin dipadam dan sertakan bukti identiti anda kepada Google.

Selepas permohonan anda dihantar, Google akan mengambil masa beberapa hari untuk memprosesnya. Jika ia diluluskan, Google akan membuang senarai URL yang memaparkan maklumat peribadi anda.

Google memperkenalkan kemudahan ini selepas ia menerima banyak permintaan di seluruh dunia oleh para pengguna yang ingin memadamkan maklumat peribadi mereka daripada rekod umum. Ini termasuklah maklumat yang muncul dalam rekod kerajaan atau rasmi.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan memanfaatkan fungsi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Reuters

Exit mobile version