Site icon TechNave BM

Anda kini boleh cas kereta elektrik dengan aplikasi Setel

Setel merupakan aplikasi yang terkenal dengan fungsinya yang membenarkan pengguna untuk mengisi minyak di stesen Petronas tanpa perlu menghadirkan diri ke kaunter untuk membayar. Kini aplikasi tersebut memperkenalkan fungsi terbaharu iaitu pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Pengguna EV kini boleh menggunakan Setel untuk mencari stesen pengecasan kenderaan dan mengaktifkan pengecas. Seperti pengisian minyak untuk kenderaan konvensional, pengguna tidak perlu pergi ke kedai Mesra kerana pembayaran akan dilakukan melalui Setel Wallet.

Buat masa ini, pengguna boleh mengecas kenderaan EV mereka di lima lokasi rintis iaitu Lotus Tesco Kepong, EV Connection Workshop Petaling Jaya, Carsome PJ Automall, Rasa Sayang Resort di Shangri-La Pulau Pinang dan ibu pejabat ACO Group Johor Bahru. Setel akan meluaskan perkhidmatan ini ke lebih banyak lokasi pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Setel telah bekerjasama dengan pihak penyedia pengecas elektrik JomCharge untuk menjayakan inisiatif ini. CEO Setel, Mazlin Erawati, berkata penerimagunaan EV yang semakin berkembang di Maalysia telah mendorong Setel untuk menyediakan pengecasan melalui aplikasi mereka.

Aplikasi Setel boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan HUAWEI AppGallery. Beritahu kami di Facebook jika fungsi Setel baharu ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version