Site icon TechNave BM

Anda kini boleh gunakan Touch ‘n Go RFID untuk bayar minyak di stesen Shell

Touch ‘n Go Group dan Shell Malaysia telah melancarkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai baharu yang menggunakan teknologi Touch ‘n Go RFID. Perkhidmatan ini akan diperkenalkan di 88 lokasi stesen minyak Shell seluruh negara dan dijangka akan meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang akhir tahun ini.

Para pelanggan kini boleh membayar minyak di stesen Shell tanpa perlu berinteraksi dengan sebarang aplikasi atau sistem titik jualan kerana pembayaran dibuat melalui akaun Touch ‘n Go eWallet yang dipautkan kepada Touch ‘n Go RFID pelanggan.

Untuk menggunakan teknologi ini, pelanggan perlu memautkan tag RFID dengan akaun Touch ‘n Go eWallet. Proses pemautan ini hanya perlu dilakukan sekali sahaja. Kemudian, pelanggan boleh parkir kenderaan di ruang pengisian minyak yang menyokong penggunaan RFID dan pembayaran minyak akan didebit secara automatik daripada akaun eWallet.

Sebarang jumlah yang tidak digunakan akan dikembalikan serta-merta ke dalam akaun eWallet pelanggan.

Selain itu, Shell dan Touch ‘n Go akan menganjurkan promosi sehingga 16 September 2022, di mana mereka menawarkan ganjaran kepada 25,000 pelanggan pertama yang menggunakan RFID di stesen minyak Shell. Pelanggan hanya perlu pam minyak sekurang-kurangnya RM50 untuk transaksi RFID pertama dan mereka akan menerima pulangan tunai sebanyak RM10.

Promosi ini hanya terhad untuk pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini buat kali pertama.

Layari laman web Touch ‘n Go atau Shell untuk maklumat lanjut. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version