Site icon TechNave BM

Anda kini boleh pandu kereta Tesla dalam PUBG Mobile

Game mudah alih popular PUBG MOBILE kini telah memperkenalkan kemas kini terbaru iaitu Version 1.5 yang memperkenalkan peta, mod dan kenderaan baharu. Penambahan yang paling ketara dalam kemas kini ini adalah kerjasama dengan syarikat kenderaan elektrik terknenal dari Amerika Syarikat, Tesla.

Kini, pemain boleh melawat sebuah kilang Tesla Gigafactory dalam peta Erangel di mana mereka boleh menyaksikan rupa kenderaan yang dibina oleh syarikat tersebut. Dalam mod baru yang bernama Mission Ignition, pemain boleh berinteraksi dengan kandungan eksklusif daripada Tesla, di mana mereka boleh memasuki kilang Gigafactory dan melihat penghasilan kereta Tesla Model Y.

Selain itu, mereka juga boleh memandu kenderaan Tesla dalam mod tersebut, termasuklah lori Tesla Semi yang akan muncul secara rawak dalam mod Mission Ignition. PUBG Mobile turut memperkenalkan kendaraan baharu seperti motosikal terapung (hover bike) serta kelengkapan baharu seperti perisai rusuhan (riot shield) dan Tactical Marking Device untuk mencari musuh.

Kemas kini Version 1.5 kini boleh dimuat turun oleh pemain Apple App Store dan Google Play Store. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version