Buat masa ini, pengguna aplikasi pemesejan WhatsApp hanya boleh menggunakannya dalam satu telefon pintar dan dihubungkan kepada sebuah komputer sahaja pada masa yang sama. Walau bagaimanapun, WhatsApp mungkin sedang membangunkan fungsi baru yang membenarkan pengguna untuk menggunakan aplikasi itu dalam beberapa telefon serentak.
Menurut WABetaInfo, fungsi Multi-Device baharu kini sedang dibina oleh WhatsApp yang akan membenarkan pengguna untuk menghubungkan akaun WhatsApp mereka kepada sebuah telefon pintar kedua. Fungsi ini pasti akan memudahkan mereka yang memiliki dua telefon, terutamanya buat mereka yang memisahkan telefon untuk tujuan pekerjaan dengan tujuan peribadi.
Selain itu, Multi-Device baharu ini mungkin akan menyediakan beberapa fungsi baharu seperti hubungan ke empat komputer, pratonton pautan (link preview), pendaftaran masuk (log in) yang lebih pantas, penyulitan hujung-ke-hujung (end-to-end encryption) dan banyak lagi. Ia juga membenarkan pengguna untuk mengakses mesej dalam komputer tanpa perlu menghidupkan telefon.
Setakat ini masih tiada maklumat rasmi daripada WhatsApp berkenaan fungsi ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo

