Site icon TechNave BM

Anda mungkin perlu bayar untuk menggunakan Telegram bermula tahun depan

Aplikasi pemesejan popular Telegram kini sedang menghampiri jumlah pengguna seramai 500 juta orang dan mungkin akan mula mengecaj penggunanya jika mereka ingin menggunakan aplikasi tersebut dengan ciri-ciri khas. Pengasasnya Pavel Durov mengatakan beliau akan mula memperkenalkan sistem pembayaran demi membiayai perkhidmatan tersebut.

Pavel mengatakan beliau telah mengoperasikan perkhidmatan itu menggunakan duitnya sendiri sepanjang tujuh tahun lepas dan kini ia telah membesar ke tahap di mana ia memerlukan ratusan juta dolar setahun untuk kekal beroperasi. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa fungsi-fungsi asas masih kekal percuma.

Antara cara Telegram mengecaj pengguna adalah dengan menyediakan sticker dengan emote tambahan. Selain itu, Telegram juga akan menyiarkan iklan dalam saluran awam (public one-to-many channels). Telegram tidak akan menyiarkan iklan dalam mesej peribadi (private one-to-one chats) atau mesej berkumpulan (group chats).

Pavel tekad untuk menjadikan Telegram sebagai syarikat yang bergerak sendiri dan tidak ingin mengganggu pengguna dengan terlalu banyak iklan. Beliau mengatakan sebarang perubahan akan dilakukan secara halus dan sukar untuk dilihat oleh kebanyakan pengguna.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: TechCrunch

Exit mobile version