Site icon TechNave BM

Anda mungkin tidak akan lihat lagi logo “USB3” atau “USB4” pada kotak peranti elektronik

Badan penyeragaman untuk port USB dalam peranti elektronik, USB Implementers Forum (USB-IF), telah memutuskan bahawa semua peranti yang mempunyai fungsi USB perlu mengabaikan logo dan penjenamaan USB yang digunakan selama ini. Ini adalah usaha terbaru daripada USB-IF untuk memudahkan pengguna membuat pilihan yang tepat sewaktu membeli peranti.

Para pengilang produk kini dinasihatkan untuk tidak menggunakan perkataan seperti “USB SuperSpeed”, “USB4” atau “USB3” pada kotak produk untuk mengelakkan kekeliruan kategori USB. Sebaliknya, mereka harus memaparkan logo USB bersama kelajuan pindahan data sahaja.

Berikut adalah contoh logo USB yang perlu ditukar:

Logo USB baharu oleh USB-IF

Selain itu, kabel USB-C pula perlu dipaparkan dengan kadar pengecasan seperti 60W atau 240W pada kotaknya.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna semua pengilang produk akan mengikuti nasihat USB-IF ini kerana badan itu tidak memiliki hak untuk pengilangan USB. Oleh yang demikian, pelaksanaannya bergantung kepada pengilang produk sama ada mereka ingin mengikut piawaian penjenamaan baharu oleh USB-IF ini.

Para pengilang boleh menghasilkan produk yang diiktiraf oleh USB-IF, namun itu bukanlah satu kewajipan.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version