Site icon TechNave BM

Anda perlu muat turun aplikasi MyBorderPass untuk guna kod QR di imigresen KLIA

Selepas kerajaan mengumumkan bahawa warganegara Malaysia kini boleh menggunakan imbasan kod QR sahaja di laluan imigresen untuk mempercepatkan pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kini mereka mengumumkan bahawa pengembara yang ingin menggunakan kaedah tersebut perlu memuat turun aplikasi khas.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memaklumkan bahawa warganegara Malaysia yang ingin gunakan kaedah imbasan kod QR perlu muat turun aplikasi MyBorderPass untuk mendaftarkan maklumat perjalanan. Selepas ia dimuat turun, pengembara juga perlu melakukan pengesahan wajah sebelum memulakan perjalanan atau semasa ketibaan.

Aplikasi MyBorderPass boleh dimuat turun daripada platform Google Play Store atau Apple App Store.

Kaedah ini boleh digunakan di 40 lorong khas dalam KLIA T1 dan KLIA T2. Ia dijangka boleh menyingkatkan masa pelepasan imigresen daripada 15 hingga 25 saat dengan kaedah konvensional, kepada lima hingga tujuh saat sahaja dengan kaedah kod QR.

Sungguh pun demikian, laluan autogate dan kaunter manual masih disediakan kerana kod imbasan QR masih tidak boleh digunakan oleh warga asing.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan gunakan kaedah QR ini di KLIA dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version