Site icon TechNave BM

Anggota PDRM akan dilengkapi kamera badan dalam masa terdekat

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan bahawa beberapa unit terpilih bakal menjadi anggota pertama dalam negara yang dilengkapi kamera pada badan mereka dalam masa terdekat.

Pemakaian kamera badan ini bertujuan untuk menangani salah laku dan aktiviti rasuah di kalangan pasukan beruniform serta melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah penjenayah.

Unit yang akan dilengkapi kamera badan ini adalah Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kenderaan Pelbagai Guna (MPV). Buat masa ini, kamera badan itu telah pun mendapat kelulusan jawatankuasa teknikal dan jumlahnya akan bergantung kepada proses tender yang dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Contoh kamera badan yang akan digunakan oleh anggota PDRM

PDRM mencadangkan kepada KDN bahawa mereka ingin membeli sekitar 2,000 unit untuk kamera tersebut. Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperuntukkan RM30 juta untuk pembelian kamera badan bagi pemakaian anggota PDRM.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pula mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan pemakaian kamera badan di kalangan anggota penguatkuasanya bermula Jun ini.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Utusan Malaysia

Exit mobile version