Anker melancarkan Soundcore AeroClip 2 dengan reka bentuk jenis klip terbuka yang dijana oleh cip pemproses khas AI THUS. Ia berfungsi memproses isyarat suara secara terus pada peranti dan menerima pengiktirafan Guinness World Records bagi tahap kejelasan panggilan suara tertinggi.
Bagi keupayaan tangkapan suara, fon telinga ini menggunakan sistem enam sensor yang mengabungkan empat mikrofon MEMS tinggi SNR dan dua sensor konduksi tulang. Sistem ini dipadankan dengan ciri Whisper Mode untuk memastikan suara pengguna kekal jelas walaupun persekitaran bising melebihi 80 dB selain menyokong ciri terjemahan AI secara masa nyata.
Dari segi pemprosesan audio, Soundcore AeroClip 2 menggunakan pemacu dwimagnetik 12mm bersama diafragma gred aeroangkasa. Ia menyokong kodek audio LDAC, pensijilan Hi-Res Audio Wireless dan penyesuaian profil EQ peribadi menerusi ciri HearID 5.0. Soundcore AeroClip 2 juga mendapat penarafan rintangan debu dan air IP57.
Setiap unit fon telinga seberat 6.2 gram menawarkan masa main balik sehingga 8 jam dan mencapai sehingga 32 jam apabila digunakan bersama bekas pengecas. Pengecasan pantas selama 10 minit menyokong masa pendengaran sehingga 4 jam. Bekas pengecasnya menyokong pengecasan menerusi USB-C dan wayarles Qi serta menyediakan mod storan terbina untuk memainkan lagu tanpa sambungan telefon.
Soundcore AeroClip 2 ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Midnight Black, Burgundy Red, Cloud White dan Mist Blue. Soundcore AeroClip 2 kini dipasarkan di Malaysia pada harga RM729. Pembelian boleh dibuat menerusi kedai rasmi Anker di platform Shopee, Lazada dan TikTok Shop serta cawangan kedai fizikal Anker terpilih.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

