Site icon TechNave BM

Anthony Loke: Pas RTS Link bersubsidi sedang dikaji, terhad untuk warganegara

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi bagi pas perjalanan untuk pengguna RTS Link, namun ia akan dihadkan khusus kepada rakyat Malaysia sahaja. Usaha ini dilihat sebagai usaha memastikan kos perjalanan lebih mampu milik terutama bagi pengguna harian rentas sempadan.

Menurut beliau, berdasarkan pengalaman sebelum ini, sesuatu pas bulanan hanya berbaloi sekiranya disokong dengan bantuan kerajaan. Justeru, fokus utama adalah menyediakan subsidi kepada warganegara Malaysia manakala warga asing tidak akan menerima manfaat yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, operator RTS, RTS Operations Pte Ltd (RTSO), dijangka mengemukakan cadangan kadar tambang kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia dan pihak berkuasa Singapura pada suku ketiga tahun ini. Sebarang pelaksanaan pas perjalanan juga perlu melalui kelulusan lembaga pengarah RTSO serta dinilai dari sudut komersial.

RTS Link sepanjang 4km ini akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura. Sistem ini menggunakan tren empat gerabak dengan tempoh perjalanan sekitar enam minit sahaja selain mampu mencapai kelajuan maksimum 80km/j dan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Edge

Exit mobile version